Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Anugerah Inovasi Pemangkin Kerjasama Lebih Erat Antara Pdrm

Published: 16 Jun 2014 7.06 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2011, yang dianugerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), akan menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih erat antara kedu..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/anugerah-inovasi-pemangkin-kerjasama-lebih-erat-antara-pdrm
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 19:00 MYT
KUALA LUMPUR, 1 Jun 2011 (Bernama) -- Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2011, yang dianugerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), akan menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih erat antara kedua-dua badan itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kolaborasi itu boleh diperluaskan kepada lain-lain kementerian dan agensi kerajaan dalam usaha ke arah pencapaian prestasi cemerlang.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pengurniaan anugerah itu, yang merupakan anugerah sektor awam terunggul.

Anugerah itu merupakan pengiktirafan kepada penghasilan inovasi yang signifikan dan memberi impak tinggi kepada ekonomi negara, katanya dalam satu kenyataan Rabu.

Ismail berkata PDRM dan ATM dipilih menerima anugerah itu berdasarkan inisiatif kerjasama sektor keselamatan negara terutamanya dalam empat bidang tugas iaitu rondaan bersama mencegah jenayah dan program latihan anggota polis di pusat latihan ATM.

Kerjasama lain membabitkan pengambilan bekas anggota ATM dan rondaan keselamatan di sempadan negara, katanya.

Anugerah itu yang meliputi hadiah wang RM1 juta, piala iringan dan piala disampaikan oleh Najib kepada Ismail dan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dalam majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.
ArticlePublished 16 Jun 2014 7.06 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM