Anggota Polis Dari Sabah Dan Semenanjung Bantu Dalam Prn Sarawak
KUCHING, 21 Jan - Polis akan menggunakan bantuan anggota dari Sabah dan Semenanjung bagi memastikan kawalan keselamatan berjalan lancar sepanjang proses Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata jumlah keanggotaan serta keperluan logistik sudah pasti akan meningkatkan berikutan jumlah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertambah dari 71 kepada 82 kerusi.
Katanya, bantuan anggota dari luar Sarawak perlu dibawa masuk untuk PRN-11 kerana tidak mahu mengganggu tugas anggota di balai dan pondok polis di negeri ini.
"Kalau kita tengok saluran mengundi sahaja ada lebih 2,700 saluran dengan setiap saluran pilihan raya perlu ada satu anggota," katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat PRN-11 lebih sejam di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.
Katanya biarpun tarikh PRN-11 belum diumumkan, PDRM perlu membuat persediaan rapi kerana ada daerah terletak jauh di kawasan pedalaman serta ada kawasan yang sukar untuk sampai kerana masalah pengangkutan dan sebagainya.
Khalid berkata pihaknya belum menetapkan jumlah anggota yang diperlukan tetapi menyatakan IPK Sarawak memerlukan tambahan anggota dari luar bagi memastikan proses pilihan raya negeri itu berjalan lancar.
Menurutnya taklimat tersebut adalah berkaitan persiapan awal IPK Sarawak serta meninjau, melawat dan mendengar mengenai keperluan logistik serta perancangan yang perlukan dilakukan.
Taklimat tersebut turut dihadiri Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim dan Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah.
Ditanya sama ada pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Jan ini akan menjejaskan persiapan PDRM menghadapi PRN-11, Khalid berkata pihaknya turut mengambil kira mengenai perkara itu serta memastikan pilihan raya negeri itu berjalan lancar.
"Kita akan gunakan apa juga sumber-sumber yang ada di sini dahulu sebelum mengambil apa juga tindakan melibatkan kos tinggi," katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan berakhir secara automatik pada 20 Jun ini dan PRN dijangka diadakan sebelum tarikh itu. Kali terakhir PRN diadakan ialah pada 16 April 2011.
- BERNAMA.