Anggota Geng Pecah Rumah Lunch Hour Diberkas Polis
Tapah,
8 Nov - Seorang anggota kumpulan pecah rumah yang dikenali sebagai
'geng lunch hour' diberkas polis ketika kenderaan yang dinaikinya
bersama seorang lagi rakan ditahan di Taman Krishnan, Slim River dekat
sini dua hari lepas.
Ketua
Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw berkata suspek yang menaiki
kereta Proton Waja itu turut bergelut dengan polis sebelum diberkas pada
pukul 4.40 petang.
"Siasatan
mendapati lelaki terbabit mempunyai lima rekod jenayah lampau selain
dikehendaki bagi kes pecah rumah di Sabak Bernam dan Ampang, Selangor.
"Sebanyak
11 kunci pelbagai model kereta yang dipercayai dilarikan sebelum ini,
beberapa jenis telefon bimbit, barang kemas, komputer riba, wang tunai
dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk jenayah pecah rumah turut
ditemui," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Namun
rakan jenayah suspek yang dikenali sebagai Ah Chun berusia lingkungan
30-an dari Kuala Lumpur yang berada bersama-samanya di dalam kereta itu
telah meloloskan diri, katanya.
Beliau berkata penahanan suspek adalah lanjutan daripada kejadian pecah rumah di Taman Sri Damai di sini pada pukul 1.30 petang.
"Mangsa
membuat laporan polis selain memberitahu sebuah kereta jenis Toyota
Estima berwarna biru dalam keadaan mencurigakan berhampiran rumah
tersebut," katanya.
Mangsa
sebelum itu menerima panggilan yng memberitahu alat penggera di
rumahnya berbunyi dan pekerjanya mendapati pintu belakang telah diumpil
dan pecah selain banyak kesan tapak tangan di tingkap bahagian dapur,
namun tiada apa-apa barang yang hilang, katanya.
Som
Sak berkata polis peronda kemudiannya terjumpa kereta yang dinaiki
suspek dan rakannya yang ditinggalkan di tepi jalan Kampung Baru, Bidor
pada pukul 2.45 petang.
Bagaimanapun
ketika mahu menghampirinya, sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki dua
lelaki keluar dari arah belakang kereta itu dengan laju, katanya.
Beliau
berkata kereta Proton Waja itu tidak berhenti ketika polis peronda cuba
menahannya di Jalan Panggung Wayang, Bidor sebelum bertindak
mengejarnya sehingga plaza tol Bidor tetapi kemudian hilang dan arah
tujunya tidak diketahui.
"Maklumat
kemudian disalurkan dan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah Slim River
telah terserempak dengan kereta tersebut seperti yang dihebahkan Ibu
Pejabat Polis Tanjung Malim, di kawasan Taman Krishnan, Slim River,"
katanya.
Semakan
rekod mendapati kereta Toyota Estima itu telah dilaporkan hilang di
Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan kereta Proton Waja hilang di Prai, Pulau
Pinang, katanya.
Sumber : BERNAMA