
Article
Al Fatihah Kpn Beri Penghormatan Terakhir Buat Kbsjd Batu Pahat
Kajang, 20 April 2022 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani hadir memberi penghormatan terakhir buat Ketua Bahagian Siasatan Jena...
Kajang, 20 April 2022 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani hadir memberi penghormatan terakhir buat Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, Allahyarham DSP Azlihan Ishak di Masjid Jamek Pekan Kajang, di sini.
Tan Sri Acryl Sani tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 10.45 malam tadi.
Turut dilihat hadir bersama-sama beliau ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Dato' Sri Abd Jalil Hassan, Ketua Polis Selangor, CP Dato' Arjunaidi Mohamed bersama isteri, Datin Baidzura Su dan Ketua Polis Johor, CP Dato' Kamarul Zaman Mamat.
Terdahulu, van jenazah Polis Diraja Malaysia yang membawa pegawai kanan polis itu tiba di masjid berkenaan pada pukul 10.30 malam dan disembahyangkan oleh ahli kariah serta kaum keluarga terdekat.
Allahyarham DSP Azlihan, 51 tahun, telah menerima rawatan di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur sejak 31 Mac lalu, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 4.30 petang semalam. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Maslina Maarof bersama anak-anaknya.
Didoakan semoga roh Allahyarham DSP Azlihan Ishak dicucuri rahmatNya dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.
Al- Fatihah.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.








