Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Aisse 25 Penganjuran Sulung Berjaya Capai Objektif Jumpa Nanti Di Aisse 27

Diterbitkan: 22 Jan 2025 1.52 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 3.33 AM
Putrajaya, 22 Januari 2025 – Setelah tiga hari ‘berkampung’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, Persidangan dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25) secara rasmi menutup tirainya hari ini selepas berjaya mencapai objektif penganjuran sulung, iaitu Malaysia sebagai hab inovasi keselamatan serantau dan global.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/aisse-25-penganjuran-sulung-berjaya-capai-objektif-jumpa-nanti-di-aisse-27
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 07:19 MYT
 
Putrajaya, 22 Januari 2025 – Setelah tiga hari ‘berkampung’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, Persidangan dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25) secara rasmi menutup tirainya hari ini selepas berjaya mencapai objektif penganjuran sulung, iaitu Malaysia sebagai hab inovasi keselamatan serantau dan global.

Membawa tema “Asia United: Charting the Future of Global Peace and Security Through Law Enforcement Collaboration”, AISSE’25 yang merupakan inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku agensi peneraju di bawah idea serta kelolaan strategik Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain, telah menghimpunkan lebih 18,000 pelawat perdagangan dan 1,000 peserta seminar.

Ditambah dengan penyertaan 300 syarikat daripada 48 buah negara yang mempamerkan pelbagai teknologi keselamatan terkini, AISSE'25 berjaya memupuk perpaduan dan kerjasama demi pembangunan yang mampan dalam bidang keselamatan.

Selain itu, melalui 36 sesi forum yang diadakan, pelbagai input, idea, teknologi dan kesepakatan berjaya diperoleh dengan penglibatan pakar serta pemimpin dari pelbagai bidang tugas, juga akademik yang arif tentang isu keselamatan global. Tidak ketinggalan, ruang-ruang dialog terbuka luas dalam mencari solusi terbaik terhadap ancaman kepada keselamatan negara, khususnya jenayah siber.

Berucap dalam Majlis Perasmian Penutup AISSE’25 di Perdana Hall, Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menzahirkan setinggi-tinggi ucapan tahniah atas kejayaan penganjuran persidangan berskala besar itu dengan komitmen tidak berbelah bahagi oleh semua pihak dan persiapan yang begitu rapi selama hampir dua tahun.

Tambahnya, sokongan padu daripada penaja utama, Syarikat Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd dan Koperasi PDRM Berhad, AISSE’25 telah memberi impak besar seperti yang dijangkakan.

Terdahulu, ketibaan Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam majlis tadi telah diiringi oleh Timbalan MDN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah bersama Tan Sri Razarudin.

Hadir sama, Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Datuk Awang Alik Jeman, Timbalan KSU (Keselamatan) KDN, Dato’ Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, Timbalan KPN, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengerusi Syarikat Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

“Perjalanan kita masih jauh (menjadi rantau ASEAN yang kukuh dari segi keselamatan), jadi adalah penting untuk semua pemegang taruh, pihak kerajaan, agensi swasta dan komuniti untuk menterjemahkan segala yang diperoleh dalam persidangan ini kepada suatu tindakan yang boleh dilaksanakan bagi mencapai impian tersebut,” ucap Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Tambah beliau, AISSE’25 juga telah membuktikan bahawa perpaduan dan kerjasama merupakan ‘alat’ berkuasa untuk semua pihak bersama-sama mendepani cabaran terhadap ancaman keselamatan yang semakin kompleks.

Datuk Seri Saifuddin Nasution turut menjanjikan bahawa pada penganjuran AISSE’27 nanti, jumlah penyertaan akan lebih ramai, impak kejayaan berganda dan perbincangan topik-topik lebih terperinci melalui sesi forum dan dialog yang bakal diadakan.

Penutup majlis menyaksikan Tan Sri Razarudin berbesar hati menyampaikan plak penghargaan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution sebagai simbolik kejayaan cemerlang AISSE’25 dalam memperkukuhkan diplomasi dan kerjasama antarabangsa.

Yang turut hadir, Pengarah-pengarah PDRM, para pegawai kanan kerajaan dan agensi swasta, perwakilan asing serta pengamal media.

Jurugambar: Lans Koperal Bryan Mustin, Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri dan Konstabel Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi.

May be an image of 7 people, dais and text

May be an image of 2 people, dais and text

May be an image of 4 people, dais and text

May be an image of 2 people, dais and text

May be an image of text


ArtikelDiterbitkan 22 Jan 2025 1.52 PMDikemas kini 17 Jul 2026 3.33 AM