
Artikel
Agong Berkenan Saksi Latihan Kuasa Tembakan 2023 Bersama Kpn
Tampin, 18 Julai 2023 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah I...
Tampin, 18 Julai 2023 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah pagi tadi berkenan berangkat menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan 2023 di Kem Syed Sirajuddin dekat Gemas, di sini.
Hadir mengiringi keberangkatan baginda berdua selain Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi Buang TUDM ialah Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain.
Latihan tahunan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu bertujuan mempamerkan keupayaan manuver dan kuasa tembakan serta impak ke atas sasaran dengan menggabungkan elemen tempur daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia yang melibatkan lebih 106 buah aset di darat serta udara.
Dalam acara tadi juga, Tan Sri Razarudin bersama tetamu utama dipertontonkan segmen latihan pemanduan aset ketenteraan seperti kereta kebal utama jenis PT91M Pendekar, 'Armoured Fighting Vehicles' AV8 Gempita, 'Armoured Personnel Carrier' AV4 Lipanbara dan 'Infantry Fighting Vehicle' ACV 300 Adnan sebelum majlis penutup yang berlangsung di Wisma Ismail Petra 51 Rejimen Artileri Diraja.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Dr. Shahrazat Hj. Ahmad, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Hj. Muhamad Norazlan Aris TUDM, Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Dato' Dzaffir Mohd Yussof dan Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.