8 614 Individu Termasuk Pelajar Sekolah Ditahan Terlibat Penyalahgunaan Dadah Di Terengganu
Kuala Terengganu, 15 Sept - Seramai 8,614 individu termasuk pelajar sekolah di negeri ini ditahan atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman bagaimanapun berkata jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 8,625 tangkapan bagi tempoh sama tahun lepas.
Katanya polis juga berjaya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM3.7 juta sepanjang tempoh tersebut berbanding RM3.3 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
"Daripada tangkapan itu, kita dapati mereka yang berusia sekitar 25 hingga 29 tahun paling ramai terlibat dengan penyalahgunaan dadah iaitu seramai 2,016 orang manakala 417 remaja yang berusia 14-18 tahun dikesan turut terbabit," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menurut Rosli, rampasan itu termasuk kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu melumpuhkan dua sindiket dadah terbesar di negeri ini di Kemaman pada Januari dan Jun lepas.
Jelasnya hasil tangkapan sindiket yang dikenali sebagai Mat Yie dan Mawi itu membawa kepada penahanan seramai 10 ahli kumpulan tersebut serta rampasan dadah jenis heroin dan pil kuda.
"Hasil tangkapan sindiket Mat Yie ini, polis berjaya merampas 500 gram heroin dan 50 pil kuda manakala 20 botol heroin dan 50 pil kuda dirampas dari kumpulan Mawi," katanya.
Selain itu, Rosli berkata pihaknya turut melaksanakan rampasan harta individu terlibat dengan kes dadah itu yang membabitkan motosikal, baranganelektrik, wang tunai serta telefon bimbit bernilai RM1.2 juta berbanding RM1.4 juta pada tahun lepas.
Jelasnya polis juga telah mengarahkan pegawai JSJN di seluruh daerah agar menangani gejala pengedaran dan penyalahgunaan dadah secara konsisten. - BERNAMA