Seramai 78 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk bayi berusia dua bulan dipercayai warga Myanmar ditemui dalam keadaan kelaparan di tepi jalan dekat Hujung Batu, Teluk Bahang awal pagi ini.
PATI berketurunan Rohingya yang ditemui berhimpit-himpit di dalam tongkang kayu itu dipercayai keluar dari negara mereka sejak 8 April lalu untuk ke Malaysia.
Kumpulan itu yang terdiri daripada 34 lelaki dan 19 perempuan dewasa dikenakan bayaran sebanyak RM400 untuk masuk ke negara ini manakala 25 kanak-kanak tidak dikenakan bayaran.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kesemua PATI itu berusia antara dua bulan hingga 68 tahun kini ditahan di lokap berpusat Bayan Baru untuk tindakan lanjut.
Sumber: Utusan Malaysia