735 Tangkapan Dalam Tempoh Lima Hari Ops Komersil
Kuala
Lumpur, 30 Nov - Ops Komersil yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia
(PDRM) sejak Isnin lepas bagi menangani jenayah kormesil, termasuk
jenayah siber berjaya membuat 735 tangkapan, sehingga semalam.
Timbalan
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata tangkapan
itu dibuat hasil 434 operasi yang diadakan di seluruh negara dalam
tempoh lima hari lepas.
Beliau
bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah
Komersil di pusat beli-belah The Curve dekat sini, hari ini.
Menyentuh
mengenai jenayah komersil, terutamanya jenayah siber, beliau berkata
PDRM bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan
Jabatan Peguam Negara sentiasa mengkaji dan melihat sama ada akta yang
sedia ada berkaitan jenayah siber cukup untuk bertindak terhadap
pelakunya.
"Kajian
itu dilakukan bagi memastikan tiada kelonggaran pada akta sedia ada dan
pindaan akta akan dilakukan sekiranya perlu," katanya.
Mohd
Bakri turut mendedahkan, Malaysia berada di tempat keenam di dunia yang
berisiko tinggi terdedah kepada ancaman jenayah siber dalam tempoh tiga
bulan pertama tahun ini, berdasarkan laporan sebuah firma Amerika
Syarikat iaitu Laporan Ancaman Keselamatan Sophos 2013.
"Pengguna
Internet di Malaysia ketika ini mencecah 13 juta. Trend Malaysia ketika
ini lebih kepada E-Commerce (perdagangan elektronik) iaitu pembelian di
atas talian dengan kerugian tertinggi pernah dicatat pada tahun 2011
iaitu sebanyak RM34 juta melalui sindiket penipuan bungkusan.
"Berdasarkan
siasatan dan kajian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mendapati
faktor kecuaian pengguna dan kurang kesedaran tentang teknologi
merupakan penyebab utama peningkatan kes-kes penipuan jenayah siber di
negara ini," katanya.
Sementara
itu, Pengarah JSJK Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan berkata banyak
lagi perlu dilakukan untuk menjamin sistem ada dalam negara mencapai
tahap yang dapat menangkis serangan siber, terutama dari segi
undang-undang dan langkah-langkah keselamatan.
Sumber : BERNAMA