7 810 Pelacur Asing Ditahan
KUALA LUMPUR 5 Okt 09 (Utusan Malaysia) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kegiatan pelacuran di negara ini khususnya membabitkan warga asing yang dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, seramai 7,810 wanita daripada 21 negara telah ditahan.
Daripada jumlah itu, seramai 56 adalah wanita warga Uzbekistan.
Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, sejak dua tahun lalu, PDRM telah menahan seramai 36,858 wanita warga asing termasuk 211 wanita Uzbekistan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran.
“Kebanyakan daripada wanita terbabit ditahan di hotel-hotel di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini mendedahkan kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga Uzbekistan yang mampu meraih pendapatan bulanan hingga mencecah RM100,000 hasil khidmat ditawarkan.
Mereka yang memasuki Malaysia dengan pas pelancong dan pelajar, dikesan menggunakan peluang ekonomi negara untuk mendapatkan keuntungan.
Mohd. Bakri berkata, seramai 191 pelacur telah dihadap ke mahkamah sejak 2005 atas kesalahan jenayah itu manakala dalam tempoh sama, 265 orang pula dikenakan tindakan mengikut undang-undang pencegahan.
“Kita (PDRM) memandang serius aktiviti tersebut dan sentiasa melaksanakan operasi untuk membanteras kegiatan ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, PDRM telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Imigresen dalam usaha menangani kegiatan yang melibatkan warga negara asing itu.
“Kita juga telah meminta Jabatan Imigresen memperketatkan kemasukan wanita warga asing dan memastikan hanya mereka yang benar-benar memiliki pas pelancong, pekerja atau pelajar yang sahih dibenarkan masuk,” jelasnya.
Mohd. Bakri menegaskan, PDRM akan terus meningkatkan usaha untuk menangkap wanita warga negara asing yang menjalankan aktiviti pelacuran di negara ini