Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

69 Kes Samun Selesai Dengan Tertangkapnya Anggota Geng Faruk

Published: 16 Jun 2014 8.26 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
Polis percaya sekurang-kurangnya 69 kes ragut dan samun bersenjata di sekitar Brickfields berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya anggota 'Geng Faruk'..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/69-kes-samun-selesai-dengan-tertangkapnya-anggota-geng-faruk
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 18:58 MYT

KUALA LUMPUR, 21 Nov 2011 (Bernama) -- Polis percaya sekurang-kurangnya 69 kes ragut dan samun bersenjata di sekitar Brickfields berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya anggota 'Geng Faruk' termasuk ketua kumpulan itu baru-baru ini.

Polis berjaya menahan tiga anggota kumpulan itu dalam beberapa serbuan berasingan, termasuk seorang wanita serta lima pembeli barangan samun mereka.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata pada 16 Nov lalu, polis menahan dua lelaki tempatan yang sedang menaiki sebuah motosikal di bawah jejantas Lebuhraya Baru Pantai (NPE) menghala ke ibu kota.

"Kedua-dua suspek yang berusia 23 dan 31 tahun, termasuk ketua kumpulan itu, ditahan hasil pemantauan polis selepas seorang wanita tempatan disamun pada 10 Nov lalu di lorong belakang kawasan perumahan di Jalan Hujan Emas, Taman OUG.

"Mangsa, yang merupakan seorang guru, sedang berjalan kaki pada pukul 1.15 tengah hari sebelum didatangi tiga lelaki menaiki dua motosikal yang kemudiannya mengacukan pisau ke arahnya, dan melarikan barang berharga milik mangsa," katanya kepada pemberita di pejabatnya Isnin.

Wan Abdul Bari berkata mangsa kerugian kira-kira RM1,300 apabila seutas rantai leher emas, dua bentuk cincin, beg tangan bersama dompet mangsa dan telefon bimbit serta wang tunai RM100 dilarikan suspek.

Beliau berkata mangsa sempat melihat nombor pendaftaran salah sebuah motosikal yang digunakan suspek sebelum melaporkan kejadian itu, dan bertindak atas maklumat itu, polis memburu anggota kumpulan terbabit.

Katanya, ketika ditahan kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu menaiki motosikal sama yang digunakan ketika menyamun wanita terbabit, dan kenderaan itu dilaporkan dicuri.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, namun ujian air kencing kedua-duanya positif dadah, dan polis juga merampas beberapa barangan dipercayai hasil samun termasuk barangan kemas, dompet dan juga pisau dari kedua-dua mereka," katanya.

Beliau berkata hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, pada 17 Nov kira-kira 3.15 petang, polis menahan seorang kerani wanita berusia 23 tahun di sebuah rumah di Bukit Belimbing, Seri Kembangan yang disyaki bersubahat menyimpan barangan samun.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu, polis menemui dua bilah pisau yang diubah suai dan disambung menjadi parang, sebilah pisau rambo, jam tangan berjenama Rolex, cermin mata berjenama selain sebuah motosikal yang telah dileraikan komponennya.

"Suspek yang merupakan rakan kepada angota kumpulan samun itu mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah, namun setelah diambil keterangannya, suspek telah dibebaskan atas jaminan polis," katanya.

Wan Abdul Bari berkata polis kini memburu seorang lagi anggota kumpulan terbabit bagi membantu siasatan, iaitu Muhammad Auffan Mohammad Nadzri, 27, yang juga berada dalam senarai dikehendaki polis membabitkan kes samun di Kajang pada 2009.

Beliau berkata anggota kumpulan itu hanya menyasarkan mereka yang dirasakan tidak cukup kuat untuk melawan balik ketika disamun atau diragut, termasuk wanita yang agak berusia.

"Mereka aktif sejak awal tahun ini dan mereka sangat berbahaya di mana dilaporkan dua dari mangsa mereka turut mengalami kecederaan parah ketika disamun," katanya.

Wan Abdul Bari berkata pada hari sama dan esoknya, polis menahan lima lagi lelaki yang berusia 24 hingga 42 tahun dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang selepas dipercayai membeli barangan samun kumpulan itu.

"Kebanyakan mereka merupakan pekerja dan peniaga di kedai telefon bimbit di mana mereka membeli telefon bimbit yang disamun oleh kumpulan terbabit dengan harga yang rendah sebelum menjualnya kembali kepada orang ramai," katanya.

Dua anggota 'Geng Faruk' kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, suspek wanita pula di bawah Seksyen 414 kanun sama, manakala lima pembeli disiasat mengikut Seksyen 411.

Beliau berkata orang ramai yang pernah disamun atau diragut di sekitar Brickfields, diminta menghubungi ASP Arikrishnan Apparau di talian 012-6107965 atau tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di Seri Petaling bagi melakukan kawad cam barangan masing-masing.

ArticlePublished 16 Jun 2014 8.26 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM