69 Kes Samun Selesai Dengan Tertangkapnya Anggota Geng Faruk
KUALA
LUMPUR, 21 Nov 2011 (Bernama) -- Polis percaya sekurang-kurangnya 69
kes ragut dan samun bersenjata di sekitar Brickfields berjaya
diselesaikan dengan tertangkapnya anggota 'Geng Faruk' termasuk ketua
kumpulan itu baru-baru ini.
Polis
berjaya menahan tiga anggota kumpulan itu dalam beberapa serbuan
berasingan, termasuk seorang wanita serta lima pembeli barangan samun
mereka.
Ketua
Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata
pada 16 Nov lalu, polis menahan dua lelaki tempatan yang sedang menaiki
sebuah motosikal di bawah jejantas Lebuhraya Baru Pantai (NPE) menghala
ke ibu kota.
"Kedua-dua
suspek yang berusia 23 dan 31 tahun, termasuk ketua kumpulan itu,
ditahan hasil pemantauan polis selepas seorang wanita tempatan disamun
pada 10 Nov lalu di lorong belakang kawasan perumahan di Jalan Hujan
Emas, Taman OUG.
"Mangsa,
yang merupakan seorang guru, sedang berjalan kaki pada pukul 1.15
tengah hari sebelum didatangi tiga lelaki menaiki dua motosikal yang
kemudiannya mengacukan pisau ke arahnya, dan melarikan barang berharga
milik mangsa," katanya kepada pemberita di pejabatnya Isnin.
Wan
Abdul Bari berkata mangsa kerugian kira-kira RM1,300 apabila seutas
rantai leher emas, dua bentuk cincin, beg tangan bersama dompet mangsa
dan telefon bimbit serta wang tunai RM100 dilarikan suspek.
Beliau
berkata mangsa sempat melihat nombor pendaftaran salah sebuah motosikal
yang digunakan suspek sebelum melaporkan kejadian itu, dan bertindak
atas maklumat itu, polis memburu anggota kumpulan terbabit.
Katanya,
ketika ditahan kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu
menaiki motosikal sama yang digunakan ketika menyamun wanita terbabit,
dan kenderaan itu dilaporkan dicuri.
"Hasil
pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod
jenayah lampau, namun ujian air kencing kedua-duanya positif dadah, dan
polis juga merampas beberapa barangan dipercayai hasil samun termasuk
barangan kemas, dompet dan juga pisau dari kedua-dua mereka," katanya.
Beliau
berkata hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, pada 17 Nov
kira-kira 3.15 petang, polis menahan seorang kerani wanita berusia 23
tahun di sebuah rumah di Bukit Belimbing, Seri Kembangan yang disyaki
bersubahat menyimpan barangan samun.
"Hasil
pemeriksaan di dalam rumah itu, polis menemui dua bilah pisau yang
diubah suai dan disambung menjadi parang, sebilah pisau rambo, jam
tangan berjenama Rolex, cermin mata berjenama selain sebuah motosikal
yang telah dileraikan komponennya.
"Suspek
yang merupakan rakan kepada angota kumpulan samun itu mempunyai dua
rekod jenayah lampau membabitkan dadah, namun setelah diambil
keterangannya, suspek telah dibebaskan atas jaminan polis," katanya.
Wan
Abdul Bari berkata polis kini memburu seorang lagi anggota kumpulan
terbabit bagi membantu siasatan, iaitu Muhammad Auffan Mohammad Nadzri,
27, yang juga berada dalam senarai dikehendaki polis membabitkan kes
samun di Kajang pada 2009.
Beliau
berkata anggota kumpulan itu hanya menyasarkan mereka yang dirasakan
tidak cukup kuat untuk melawan balik ketika disamun atau diragut,
termasuk wanita yang agak berusia.
"Mereka
aktif sejak awal tahun ini dan mereka sangat berbahaya di mana
dilaporkan dua dari mangsa mereka turut mengalami kecederaan parah
ketika disamun," katanya.
Wan
Abdul Bari berkata pada hari sama dan esoknya, polis menahan lima lagi
lelaki yang berusia 24 hingga 42 tahun dalam beberapa serbuan di sekitar
Lembah Klang selepas dipercayai membeli barangan samun kumpulan itu.
"Kebanyakan
mereka merupakan pekerja dan peniaga di kedai telefon bimbit di mana
mereka membeli telefon bimbit yang disamun oleh kumpulan terbabit dengan
harga yang rendah sebelum menjualnya kembali kepada orang ramai,"
katanya.
Dua
anggota 'Geng Faruk' kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun
Keseksaan, suspek wanita pula di bawah Seksyen 414 kanun sama, manakala
lima pembeli disiasat mengikut Seksyen 411.
Beliau
berkata orang ramai yang pernah disamun atau diragut di sekitar
Brickfields, diminta menghubungi ASP Arikrishnan Apparau di talian
012-6107965 atau tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di Seri
Petaling bagi melakukan kawad cam barangan masing-masing.