60 Pati Ditahan 20 Rumah Setinggan Diroboh Di Sandakan
Sandakan, 23 Julai - Enam puluh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang mendiami penempatan setinggan berhampiran Taman Kenari Batu 7 dekat sini, ditahan dalam operasi bersepadu semalam.
Ia susulan kejadian seorang anggota bomba maut selepas terkena renjatan elektrik daripada pendawaian haram rumah setinggan ketika terlibat operasi memadam api belukar berhampiran taman perumahan itu.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Mohd Zain berkata operasi pada 4 pagi itu melibatkan pelbagai agensi termasuk pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Imigresen,
Jabatan Pendaftaran, Jabatan Tenaga Kerja dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).
Kesemua PATI yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut dan dihantar ke Pusat Tahanan Sementara Sibuga, katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Penolong Pegawai Penguatkuasa MPS Sairin Abdul Rahman berkata 20 rumah setinggan dirobohkan di kawasan itu yang terletak di belakang Taman Kenari.
Katanya operasi meroboh rumah dilakukan pada 2 petang semalam susulan operasi bersepadu dilaksanakan pasukan keselamatan sebelum itu.
Menurutnya kesemua rumah yang dirobohkan adalah setinggan yang dihuni PATI.- BERNAMA