55 Penagih Dadah Ditahan
ALOR SETAR 2 Mei 2010 – Sebanyak 55 orang disyaki penagih dadah ditahan dalam satu serbuan polis di pelantar menangkap ikan di Kuala Kedah di sini hari ini.
Dalam serbuan antara pukul 6 sehingga 11 pagi, seramai 15 orang penagih dapat melepaskan diri dengan terjun ke dalam laut.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Deputi Superintenden Zainuddin Saad berkata, ketika serbuan, kesemua nelayan terbabit sedang bersiap sedia untuk turun ke laut.
“Selepas ditahan, 30 orang didapati positif dadah dan empat daripadanya adalah orang yang masih di dalam pengawasan pihak polis.
“Dua daripada mereka memiliki 12 tiub syabu dan 27 tiub heroin dan pihak kami syak dadah tersebut akan diedarkan kepada penagih di kawasan pelantar ikan tersebut,” ujarnya di sini hari ini.
Menurutnya, kebanyakan yang ditahan merupakan penagih dadah tegar kerana telah berulang kali ditahan.
“Operasi yang dijalankan hari ini adalah kali kedua dijalankan bagi membanteras kegiatan penagihan dadah di kawasan ini,” katanya.
Jelasnya, dalam operasi tersebut, sebuah motosikal disyaki dicuri juga turut dirampas.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk siasatan lanjut, katanya