50 Peserta Sertai Seminar Kepimpinan Anak Polis
Langkawi, 11 Ogos - Sebanyak 50 anak anggota polis hari ini menyertai Seminar Kepimpinan Anak Polis yang dianjurkan oleh Yayasan Pengaman Malaysia (Pengaman).
Anggota Lembaga Amanah Pengaman, Datuk Wira Ayub Yaakob berkata seminar empat hari yang julung kali diadakan itu menerapkan elemen kepolisan masa hadapan kepada peserta yang merupakan lepasan universiti tempatan.
Beliau berkata menerusi seminar itu, peserta diberikan pendedahan berhubung senario semasa di dalam dan luar... negara.
"Kita bukan hendak beri syarahan (sahaja), tapi kita hendak memberi pengisian yang efektif melalui penglibatan bersama lepasan ijazah ini supaya kita dapat salurkan (maklumat dan fakta) dari hati ke hati dan bersemuka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian seminar itu di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.
"Kita mahu mereka memiliki segala ciri-ciri...segala kualiti bukan sahaja untuk menghadapi cabaran tetapi untuk mencari penyelesaian kepada isu dan masalah pada masa hadapan," kata Ayub. - BERNAMA