47 Ditahan Dalam Ops Tiong Di Kepong
Kuala
Lumpur, 13 Dis - Seramai 44 warga asing dan tiga warga tempatan ditahan
bagi pelbagai kesalahan imigresen dan penipuan Internet dalam Ops Tiong
di 10 buah rumah kedai di Taman Sri Kuching, Kepong di sini awal pagi
tadi.
Timbalan
Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit
Aman Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof berkata mereka terdiri daripada 37
warga Nigeria, empat warga Afrika, seorang warga Ghana, dua warga
Filipina dan tiga orang rakat tempatan.
"Mereka
adalah 36 lelaki dan 11 wanita yang kesemuanya berusia antara 20 dan 45
tahun," katanya kepada pemberita selepas operasi lima jam itu.
Operasi itu yang bermula pada 12.30 tengah malam disertai 242 pegawai dan anggota polis serta 40 pegawai dan anggota Imigresen.
Mohd
Rodwan berkata daripada jumlah itu, seramai 22 orang ditahan kerana
kesalahan jenayah komersil membabitkan penipuan siber, African scam,
parcel scam dan black money.
Seramai
25 orang lagi diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut
kerana kesalahan berkaitan visa dan dokumen perjalanan.
"Polis turut merampas 11 unit komputer riba, 10 telefon bimbit dan wang tunai RM500 dalam operasi itu," katanya.
Mengenai
sindiket penipuan Internet, beliau berkata modus operandi yang
digunakan ialah dengan menjerat wanita tempatan menerusi 'perangkap
cinta' sebelum mengumpan mereka melakukan pemindahan wang.
"Mangsa
yang percaya dengan ayat-ayat cinta warga asing ini akan memindahkan
sejumlah wang ke dalam akaun suspek dan hanya menyedari ditipu selepas
suspek gagal dihubungi," katanya.
Menurutnya kebanyakan suspek juga menyalahgunakan pas lawatan dan mengubah suai pas pelajar mereka.
Kesemua
mereka disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233
(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menipu.
Sumber : BERNAMA