
42 Pegawai Polis Pelbagai Negara Tingkatkan Kemahiran Kepimpinan Menerusi Kursus Perintah Tinggi Polis Antarabangsa
Kuala Lumpur, 22 Oktober 2022 - Seramai 42 pegawai polis dari 27 buah negara berjaya menamatkan Kursus Perintah Tinggi Polis Antarabangsa ke-46 bagi meningkatkan kemahiran kepimpinan masing-masing.
Kursus yang bermula dari 3 Oktober sehingga semalam di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur itu memfokuskan mengenai isu-isu semasa sebagai panduan para peserta dalam menjalankan sesuatu siasatan.
Selain menjadi medan bertukar pendapat berkaitan jenayah antarabangsa dan jenayah rentas sempadan, para peserta turut didedahkan kepada program kepolisan yang diamalkan di negara ini.
Sebagai menghargai komitmen yang dipamerkan oleh para peserta sepanjang kursus dijalankan, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani berbesar hati hadir ke Malam Mes yang diadakan di Dewan KPN, Maktab PDRM Kuala Lumpur sekali gus merasmikan majlis penutup kursus tersebut.
Dalam ucapan perasmian, Tan Sri Acryl Sani berharap segala ilmu kepimpinan yang dicurahkan sepanjang tiga minggu itu dapat dimanfaatkan seterusnya membantu dalam penugasan kepolisan di negara masing-masing.
"Malam mes yang diadakan ini adalah platform terbaik untuk menghargai setiap kejayaan dan pengorbanan selain dapat mengeratkan hubungan ‘esprit de corps’ dalam kalangan pegawai polis,” ucap beliau.
Hadir sama menyerikan majlis tadi adalah Duta-duta negara, barisan Pengarah PDRM, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, DCP Dato’ Nerita Yaacob, Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, DCP Dato’ Pahlawan Anuar Othman, Ketua Pusat Sains Kepolisan, Maktab PDRM Kuala Lumpur selaku pengerusi jawatankuasa, SAC Ishak Hasan, SAC Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam selaku presiden kursus, SAC M.V.Srikumar Madhavan Nair.
Jurugambar: Inspektor Afiq Nashriq Mohamed Yusof dan Koperal Irfan Bujang.