41 TAHUN MENABUR BAKTI KEPADA PDRM
Kuala Lumpur, 13 Oktober 2017 –Pengarah Jabatan Sumber Strategik Dan Teknologi (StaRT), CP Dato’ Sri Abd. Manan Mhd Hassan pada hari ini secara rasminya bersara wajib setelah 41 tahun menabur bakti dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis Paluan Berundur sempena persaraan beliau telah diadakan bertempat di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.
Perjalanan karier beliau bermula sebagai Inspektor Percubaan setelah tamat latihan pada 5 Disember 1976 di PULAPOL Kuala Lumpur dan kemudian dilantik sebagai Pegawai Pemerintah (PP) Platun Batalion 7, Pasukan Polis Hutan (PPH), Kuala Lumpur.
Beliau kemudian menjawat jawatan sebagai Pegawai PPH di Sekolah Latihan PPH, Ulu Kinta, Perak dan kemudiaannya bertukar Cawangan Semboyan, Jabatan Logistik, Bukit Aman.
Hampir separuh tempoh perkhidmatanya, beliau telah menabur khidmat dan bakti di dalam Cawangan Semboyan, Jabatan Logistik yang kini dikenali sebagai Cawangan Komunikasi, Jabatan StaRT demi memartabatkan Cawangan Komunikasi ke arah lembaran baharu yang seiring dengan perkembangan pesat arus teknologi.
Dato’ Sri Abd. Manan Mhd Hassan dikenali sebagai seorang yang berwibawa, berwawasan tinggi dan amat menitikberatkan disiplin serta ketepatan masa di dalam penugasan sehingga menjadikan beliau seorang pemimpin yang disanjungi dan disegani.
Persona kepimpinan semakin terserlah apabila tarikh keramat 7 Oktober 2016 menyaksikan beliau telah diberikan kepercayaan untuk menerajui Jabatan StaRT sehingga ke hari ini.
Turut hadir sama majlis ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, barisan Pengarah PDRM, warga PDRM dan rakan media.
Pengarah Jabatan Sumber Strategik Dan Teknologi (StaRT), CP Dato’ Sri Abd. Manan Mhd Hassan