
Article
40 Tahun Dalam Pasukan Pengalaman Terindah Buat Datin Seri Dato Asmawati Ahmad
Kuala Lumpur, 8 Januari 2021 - Nama SAC Datin Seri Dato’ Asmawati Ahmad tidak asing dalam kalangan pengamal media dan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM). Serin...
Kuala Lumpur, 8 Januari 2021 - Nama SAC Datin Seri Dato’ Asmawati Ahmad tidak asing dalam kalangan pengamal media dan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sering kali beliau dijemput menjadi tetamu bagi program di kaca televisyen, radio malahan akhbar-akhbar utama sebagai jurucakap Pasukan untuk mengulas dan menerangkan tentang perancangan, pelaksanaan serta penyelarasan inisiatif PDRM, sesuai dengan peranannya sebagai Ketua Komunikasi Korporat.
Malah, apabila pertukaran melibatkan Pucuk Pimpinan Pasukan, beliau merupakan individu yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan media untuk makluman umum.
Menyingkap kembali perjalanan karier selama 40 tahun di dalam Pasukan, Dato' Asmawati secara rasmi menyarung uniform keramat Sang Saka Biru pada 8 Februari 1981 dan memulakan tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Perak sebagai Pegawai Penyiasat selama setahun.
Biarpun singkat, tempoh itu dimanfaatkan dengan sebaiknya bersama pengalaman mengendalikan pelbagai kes sebelum beliau ditukarkan ke Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada tahun 1982.
Darah srikandi yang diwarisi daripada moyang, datuk, ibu dan bapanya yang juga pernah bergelar anggota polis, menjadikan Dato’ Asmawati seorang figura yang berjiwa kental dan sukakan kepada cabaran.
Sifat kepimpinan yang sedia tersemat dalam dirinya terus menyerlah melalui ketelitian beliau dalam menjalankan tugas. Ia dapat dilihat melalui kejayaan yang dilakar melalui tugas risikan yang diamanahkan kepadanya. Selama 32 tahun berkhidmat di jabatan berkenaan, Dato’ Asmawati telah memegang pelbagai jawatan penting melalui kepercayaan penuh pegawai atasan yang diletakkan di bahunya.
Dato’ Asmawati juga pernah mengiringi Perdana Menteri Malaysia dan isteri semasa melakukan lawatan rasmi di luar negara pada tahun 1998 sehingga 2013. Ia merupakan pengalaman manis dalam kerjaya beliau menjadi antara pegawai kanan polis yang terpilih menggalas tanggungjawab tersebut.
Tanggal 2 Januari 2014 menjadi detik bersejarah buat Dato’ Asmawati apabila beliau dilantik oleh Pucuk Pimpinan Pasukan sebagai Ketua Komunikasi Korporat PDRM yang ke-11. Kewibawaan dan kecemerlangan mutu perkhidmatan serta kepimpinan yang dipamer, menjadikan beliau sebagai individu yang paling layak menggalas tanggungjawab itu demi meningkatkan imej PDRM di mata masyarakat.
Antara inisiatif beliau sepanjang menjawat jawatan sebagai Ketua Komunikasi Korporat PDRM adalah, mewujudkan kolaborasi antara PDRM dengan Yayasan ROSE (Removing Obstacles to Cervical ScrEening) mengenai kesedaran kanser pangkal rahim, pelopor kepada program kesedaran penyakit Autism kepada pegawai dan anggota polis, terlibat dalam misi kebajikan bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta mempromosikan program “community policing” kepada masyarakat.
Biarpun berat untuk meninggalkan Pasukan yang amat disayanginya ini, namun Dato’ Asmawati akur dan menerima hakikat bahawa setiap yang bermula pasti ada penghujungnya. Beliau bakal menjalani persaraan wajib berkuat kuasa mulai esok, 9 Januari 2021, setelah bertahun mencurahkan jiwa raga dan khidmat bakti demi melihat PDRM terus disayangi serta dihormati oleh semua lapisan masyarakat.
Terdahulu telah diadakan Majlis Serah Terima Tugas jawatan Ketua Komunikasi Korporat PDRM antara penyandangnya, SAC Datin Seri Dato’ Asmawati Ahmad dengan Superintenden Komunikasi Korporat, Superintendan Skandaguru Anandan dan disaksikan oleh Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf di Bilik Mesyuarat, Tingkat 30, Menara 1, Bukit Aman.
“Sumbangan yang telah diberikan oleh Dato’ Asmawati kepada Pasukan terlalu besar untuk dibalas dan tidak ternilai dengan wang ringgit.
“Apa yang pasti, segala kudrat dan keringat beliau akan dikenang selamanya dan mendapat ganjaran yang sebaik-baiknya dari Allah SWT,” ucap Dato’ Ramli.
Hadir sama, Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran), SAC Tuan Ruslan Khalid, SAC Modenisasi Pengurusan Organisasi, Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), SAC Tuan Zulkifli Sariaat, ACP Urus Setia KPN (Perundangan), ACP Tuan Abd Rahman Atan, ACP Perhubungan Antarabangsa Urus Setia KPN (Pentadbiran), ACP Tuan Ahsmond Bajah dan para pegawai kanan.
Bagi pihak seluruh warga PDRM khususnya Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, dari lubuk hati yang paling dalam, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datin Seri Dato’ Asmawati Ahmad atas segala ilmu, jasa, pengorbanan dan keringat yang telah dicurahkan selama ini.
Pohon dimaafkan jua jika ada kekhilafan atau perbuatan kami yang pernah menyinggung hati dan perasaan Dato’. Sesungguhnya masih banyak lagi ilmu yang perlu kami pelajari dan contohi daripada seorang insan hebat seperti Dato’.
Selamat bersara buat SAC Datin Seri Dato’ Asmawati Ahmad. Semoga ikatan murni yang terjalin akan terus berkekalan. Kami akan sentiasa merindui dan mengingatimu buat selama-lamanya.
Foto : Koperal Muhamad Rafsamjani Shamsul Bahar, Lans Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Konstabel Bryanlie Mustin dan Konstabel Muhammad Khairul Hilmi Zaini.

Foto : Koperal Muhamad Rafsamjani Shamsul Bahar, Lans Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Konstabel Bryanlie Mustin dan Konstabel Muhammad Khairul Hilmi Zaini.
Sekitar Majlis Serah Terima Tugas jawatan Ketua Komunikasi Korporat PDRM antara penyandangnya, SAC Datin Seri Dato’ Asmawati Ahmad dengan Superintenden Komunikasi Korporat, Superintendan Skandaguru Anandan dan disaksikan oleh Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf.
Sekitar Majlis Serah Terima Tugas jawatan Ketua Komunikasi Korporat PDRM antara penyandangnya, SAC Datin Seri Dato’ Asmawati Ahmad dengan Superintenden Komunikasi Korporat, Superintendan Skandaguru Anandan dan disaksikan oleh Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf.