4 Anggota Yusuf Meling Ditahan
SHAH ALAM - 19 Ogos 2010. Polis Selangor menahan empat lelaki dipercayai anggota kumpulan "Yusuf Meling" yang terbabit dalam beberapa kejadian pecah kereta di sekitar Lembah Klang, dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Megah, Ampang Jaya, awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan
Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, semua suspek
yang berumur antara 17 dan 27 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis
dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dalam serbuan yang dibuat
berdasarkan maklumat awam pada kira-kira 3.15 pagi.
Beliau
berkata, suspek yang ditahan dalam bilik pangsapuri yang disewa itu
disyaki terlibat dalam 30 kes pecah kereta sekitar Pandan Indah dan
Ampang.
"Hasil siasatan mendapati kesemua mereka terlibat dengan penggunaan dadah, dan salah seorang daripada mereka mempunyai enam rekod jenayah lampau," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor di sini.
Katanya, polis turut merampas sebuah motosikal, beberapa peralatan komputer, telefon bimbit, jam tangan, kamera, dan kad multimedia yang dipercayai hasil samun.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga 23 Ogos dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Omar berkata polis masih berusaha menjejaki lima daripada 11 anggota kumpulan "Styer" yang terbabit dengan beberapa rompakan bersenjata di sekitar Lembah Klang. Semalam polis memberkas empat lelaki anggota kumpulan itu dalam satu serbuan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.
Dalam serbuan kira-kira 1.05 pagi itu, semua suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan pasukan dari Cawangan Jenayah Berat (D9) IPPK Selangor berdasarkan maklumat awam dan risikan di sebuah restoran makanan segera di Shah Alam. "Kesemua suspek dtahan reman sehingga 25 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.