Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

4 Ahli Pak Ee Mati Kena Tembak

Diterbitkan: 13 Jun 2014 2.11 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Kuala Lumpur - 12 Ogos 2009. Empat anggota kumpulan samun 'Pak Ee' warga Indonesia yang disifatkan sebagai ganas ditembak mati oleh polis berhampiran kilang simen di Jalan Rawang-Kuang/Jalan Bristol, ..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/4-ahli-pak-ee-mati-kena-tembak
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 12:22 MYT

Kuala Lumpur - 12 Ogos 2009. Empat anggota kumpulan samun 'Pak Ee' warga Indonesia yang disifatkan sebagai ganas ditembak mati oleh polis berhampiran kilang simen di Jalan Rawang-Kuang/Jalan Bristol, Rawang dekat sini, pagi semalam, selepas diburu sejak Jun lalu.

Berdasarkan dokumen ditemui, tiga suspek dikenali sebagai Iskandar Hasan, 37; Rifa'i, 39 dan Lutfi. Identiti seorang lagi rakan mereka belum dikenal pasti.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata kumpulan itu yang disyaki terbabit 15 kes samun termasuk merogol dan mencederakan mangsa mereka, dikejar polis 30 minit selepas gagal menyamun sebuah rumah di Jinjang, awal pagi semalam.

Katanya, bertindak atas maklumat awam, polis terserempak kereta Proton Waja dinaiki penjenayah berdekatan Pasar Borong Selayang pada jam 6.15 pagi, tetapi mereka melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.

"Polis mengejar mereka dan apabila tiba di Jalan Rawang-Kuang, mereka menutup lampu kenderaan sambil membelok ke satu lorong tetapi kereta mereka terbabas ke dalam parit.

"Selepas itu, mereka keluar dari kenderaan dan cuba menyerang polis menggunakan sabit dan parang sehingga memaksa anggota kita melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan semuanya terbunuh.

"Polis turut merampas beberapa senjata tajam. Kita tahu di mana tempat mereka menginap dan sedang membuat pemeriksaan di lokasi berkenaan," katanya ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, semalam.

Difahamkan, dua kelongsong peluru yang bukan dari pistol polis turut ditemui.

Khalid berkata, suspek berusia antara 22 dan 39 tahun itu mula diburu sejak kejadian samun di rumah Datuk Kadar Shah Sulaiman Ninam Shah di Shah Alam, Jun lalu. Dalam kejadian itu pembantu rumahnya mendakwa turut dirogol.

"Polis percaya masih ada saki baki anggota kumpulan itu yang melakukan 15 kes samun di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

"Mereka akan pulang ke Indonesia jika mendapat hasil samun yang banyak. Jika hasil samun kecil, mereka mengumpul beberapa hasil samun sebelum pulang ke negara asal," katanya.

Siasatan polis mendapati kereta Proton Waja dinaiki mereka adalah kenderaan curi.

ArtikelDiterbitkan 13 Jun 2014 2.11 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM