
Artikel
38 Pegawai Dan Anggota Pga Tamat Kursus Asas Fibua Infantri Platun Siri 1 2023
Tambahnya lagi, keperluan kursus ini adalah merupakan saranan Pengarah Jabatan KDNKA, CP Dato’ Sri Hazani Ghazali dalam memperkasakan PGA dengan menekankan lim...
Kuala Muda, 4 Disember 2023 - Seramai satu pegawai kanan dan 37 anggota dari Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih hari ini melakar sejarah masing-masing apabila berjaya menamatkan Kursus Asas “Fight In Build Up Area” (FIBUA) (Infantri Platun) Siri 1/2023 dengan cemerlang.
Majlis penutupan kursus asas berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi di Padang Bola Markas Latihan Luar, Pusat Latihan PGA Tupah, Bedong, di sini.
Kursus yang diadakan selama tiga minggu itu bertujuan melengkapkan tahap kompetensi sebagai pegawai dan anggota infantri yang mempunyai pengetahuan serta teknik melibatkan penugasan pertempuran di kawasan terbina.
Berucap dalam majlis tadi, Dato’ Mohamad Suzrin berharap agar kesemua peserta dapat mempraktikkan lilmu yang dimiliki bagi melahirkan pegawai dan anggota separa militeri PGA yang berkemahiran tinggi, komited serta berdedikasi. Beliau turut merakamkan syabas dan tahniah kepada semua peserta yang telah menamatkan kursus dengan jayanya.
Tambahnya lagi, keperluan kursus ini adalah merupakan saranan Pengarah Jabatan KDNKA, CP Dato’ Sri Hazani Ghazali dalam memperkasakan PGA dengan menekankan lima elemen penting iaitu FIBUA, “Sea Combat”, ketenteraman awam, keselamatan sempadan dan “major event”.
Kemuncak majlis tadi menyaksikan sesi penyampaian sijil tamat kursus oleh Dato’ Mohamad Suzrin kepada wakil peserta kursus, Inspektor Shazwan Syafiq Hasnul Hadi. Lebih bermakna lagi apabila Sarjan Mohd Fazwan Zainol Abidin telah dinobatkan sebagai Peserta Kursus Terbaik.
Sebelum majlis berakhir, para tetamu turut dipertontonkan dengan persembahan seni mempertahankan diri, “Fibua Assult” dan “Room Combat” oleh para peserta kursus.
Hadir sama, Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, SAC Shahrum Hashim, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman @ Abdul Rahim, Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Semenyih, Superintendan Jafri Muhamad dan Komandan Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, Superintendan Mohammad Hafiz Kadir.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Lans Koperal Bryanlie Mustin