Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

36 Kaki Judi Ditahan Di Kulim

Diterbitkan: 01 Mar 2016 6.29 AM Dikemas kini: 15 Aug 2026 7.32 PM
Alor Setar, 1 Mac- Seramai 36 individu ditahan sepasukan polis ketika menjalankan aktiviti perjudian di sebuah bangsal yang terletak di belakang rumah di Sungai Seluang, Lunas, pada Ahad lepas.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/36-kaki-judi-ditahan-di-kulim
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 08:30 MYT

Alor Setar, 1 Mac- Seramai 36 individu ditahan sepasukan polis ketika menjalankan aktiviti perjudian di sebuah bangsal yang terletak di belakang rumah di Sungai Seluang, Lunas, pada Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mohd Nashir Ya berkata dalam serbuan kira-kira pukul 8.15 malam itu, pihaknya menahan 29 lelaki dan tujuh wanita tempatan berusia antara 20 hingga 70-an.

Beliau berkata tempat perjudian yang beroperasi tidak sampai seminggu itu menawarkan perjudian jenis dadu dan lokasinya terletak di belakang sebuah rumah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya hasil serbuan itu pihaknya merampas wang tunai berjumlah RM60,000, 1,085 cip pelbagai warna, tiga dadu dan sebuah meja panjang.

"Suspek direman hingga hari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, hari ini.

Sementara itu, Nashir berkata dua lelaki tempatan berumur 20 dan 27 tahun berasal dari Pulau Pinang ditahan polis kerana memiliki sepucuk pistol jenis Pietro Berreta bersama satu kelopak peluru di Plaza Tol Jitra, pada 22 Feb lepas.

Beliau berkata kejadian kira-kira 10.05 malam itu, pihaknya turut menemui pelbagai jenis peluru 9mm yang disorokkan dalam dua kotak rokok, yang diletakkan dalam beg berwarna merah bersama pistol berkenaan.

"Beg berisi pistol dan peluru diletakkan di tempat duduk hadapan kenderaan itu. Hasil siasatan mendapati pistol tersebut diseludup dari negara jiran, Thailand dan suspek mengakui memiliki pistol tersebut untuk tujuan peribadi," katanya.

Katanya kedua-dua suspek berkerja sendiri dan salah soerang suspek mempunyai tiga rekod jenayah seperti kes dadah dan curi.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan reman hingga 3 Mac ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960.- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 01 Mar 2016 6.29 AMDikemas kini 15 Aug 2026 7.32 PM