33 473 Waran Tangkap Libatkan Kesalahan Trafik Diselesaikan Polis
Kuala Lumpur, 16 Mei - Sebanyak 33,473 daripada 1.59 juta samanberstatus waran tangkap susulan kegagalan pengguna jalan raya membayar saman dan menghadiri perbicaraan di mahkamah, diselesaikan sepanjang tempoh 15 hari sejak awal bulan ini.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Dato' Mohd Fuad Abdul Latiff dalam kenyataan hari ini berkata, sebanyak 217,048 saman juga dijelaskan bagi tempoh yang sama.
Semalam, Mohd Fuad berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kaunter pembayaran saman pada Sabtu dan Ahad sebelum penguatkuasaan Ops Warta, minggu hadapan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai membuat pembayaran saman.
Ops Warta dilancarkan bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai status waran tangkap yang belum diselesaikan.
Sebaik Ops Warta dilancarkan, polis akan melakukan operasi sekatan jalan raya dan tangkapan terhadap individu di seluruh negara termasuk pergi ke premis mereka bekerja.
Angka 1.59 juta itu merupakan baki daripada 1.8 juta saman yang diumumkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Ops Selamat 5 yang dilancarkan semasa Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.- BERNAMA