
Artikel
321 Penerima Zakat Disantuni Dalam Majlis Iftar Di Ipk Terengganu
Kuala Terengganu, 5 April 2023 - Seramai 321 penerima zakat disantuni dalam Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani...
Kuala Terengganu, 5 April 2023 - Seramai 321 penerima zakat disantuni dalam Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, malam tadi.
Kesemua penerima zakat wakalah dari Syarikat PBLT Sdn. Bhd itu turut menerima sumbangan bakul makanan daripada Yayasan Food Bank Malaysia yang turut disaksikan oleh pengerusi syarikat, Tan Sri Datuk Seri Dr. Mazlan Lazim.
Majlis kebajikan KDN bersama Polis Diraja Malaysia itu diadakan bagi mengeratkan lagi tali ukhuwah sesama warga Pasukan dengan masyarakat, disamping membantu golongan yang memerlukan di bulan Ramadan.
IPK Terengganu dipilih selepas Kontinjen Selangor dan diikuti Negeri Sembilan serta Pulau Pinang untuk Datuk Seri Saifuddin Nasution bersua muka dengan warga Pasukan pada tahun ini.
Datuk Seri Saifuddin Nasution bersama Tan Sri Acryl Sani kemudiannya turut bersama-sama iftar, seterusnya menunaikan solat fardhu Maghrib dan Isyak serta solat sunat Tarawih berjemaah di Surau Al-Hidayah.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Tuan Wan Husbi Wan Mohd, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Dato’ Ruslin Jusoh, Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal, Dato' Seri Dr. Haji Ahmad Said, Ketua Polis Terengganu, DCP Dato' Rohaimi Md Isa bersama timbalannya, SAC Dato' Wan Rukman Wan Hassan, wakil-wakil ketua agensi di bawah KDN serta warga Polis Terengganu.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan.