31 Pati Ditahan Dalam Op Cegah Jenayah
Kota Kinabalu, 1 Feb - Polis menahan 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op cegah Jenayah di sekitar pusat bandar ini.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M. Chandra berkata kesemua yang ditahan hasil daripada pemeriksaan terhadap 73 individu dalam operasi bermula 7 petang semalam sehingga 4 pagi ini, di beberapa lokasi termasuk rumah setinggan Kampung Sinulihan dan Cendrakasih.
"Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun. Semasa operasi, polis turut menahan empat individu yang didapati positif ujian air kencing," katanya dalam kenyataan di sini.
Chandra berkata semua tahanan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Kota Kinabalu untuk didokumentasi dan saringan air kencing.
Beliau berkata, tumpuan lokasi operasi ialah penempatan yang mempunyai sarang penagih dadah dan berpotensi terlibat dengan kegiatan jenayah.
Menurutnya, operasi itu diketuai tiga pegawai bersama 39 anggota termasuk pelbagai agensi antaranya Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.
- BERNAMA