304 Anggota Kongsi Gelap Diberkas Sepanjang Ops Cantas Khas
Kuala
Lumpur, 23 Sept - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas 304 anggota
kongsi gelap menerusi Ops Cantas Khas yang dilaksana sejak 17 Ogos
lepas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. Beliau berkata
polis juga membuka 236 kertas siasatan mengenai pertubuhan kongsi gelap
terbabit.
"Antara
anggota kumpulan kongsi gelap yang ditahan ialah Geng 04 sebanyak 60
orang, Geng 08 (110 orang), Geng 18 (12 orang) dan Geng 36 (60 orang),"
katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Menurutnya
setakat hari ini, polis menahan 11,036 individu di bawah operasi itu
selain merampas 23 laras senjata api, 14 pucuk senapang angin buatan
sendiri, satu bom tangan, 1,238 butir peluru dan pelbagai senjata lain.
Katanya
daripada jumlah yang ditahan itu, 47 disiasat mengikut Akta Pencegahan
Jenayah 1959 (PCA), manakala baki di bawah kesalahan-kesalahan lain.
"Walaupun
kita dah tahan ramai tetapi kita tidak dapat meneruskan tindakan di
bawah PCA kerana tidak diluluskan pihak pendakwa raya tapi mereka
dituduh di bawah kesalahan lain di mahkamah," katanya.
Ops
Cantas Khas dilaksana oleh PDRM bagi membanteras kongsi gelap dan
individu terbabit jenayah berat di seluruh negara setelah jenayah
keganasan melibatkan pembunuhan, rompakan, rogol dan pergaduhan
dilaporkan meningkat termasuk pembunuhan dan cubaan bunuh golongan
berprofil tinggi.
Sementara
itu, Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala
Lumpur (DPMM KL), Datuk Daud Daros berkata pihaknya mengucapkan tahniah
kepada PDRM kerana berjaya dalam usaha membanteras penjenayah tegar
sejak pelancaran Ops Cantas Khas.
"Tindakan
itu berkesan meningkatkan kepercayaan masyarakat perdagangan dan
industri Malaysia dan telah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap
pasukan polis. DPMM KL harap pasukan polis meneruskan tindakan itu
sehingga ke akar umbi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumber : BERNAMA