3 300 Anggota Polis Terengganu Akan Bantu Mangsa Banjir
Kuala
Terengganu, 23 Nov - Seramai 3,300 anggota polis di Terengganu
diletakkan dalam keadaan bersedia untuk membantu mangsa banjir di negeri
ini pada musim tengkujuh ini.
Timbalan
Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata kesemua anggota
polis itu akan digerakkan sebaik banjir berlaku di negeri ini.
Sebagai
persiapan awal menghadapi musim tengkujuh, polis kini membuat
pemantauan empat jam sekali kenaikan paras air sungai khususnya di
kawasan yang sering dilanda banjir, katanya kepada pemberita di sini
hari ini.
Sementara
itu Hamzah mengingatkan orang ramai terutama penduduk di kawasan yang
sering dilanda banjir supaya membuat persediaan awal untuk berpindah ke
kawasan yang lebih selamat jika paras air sungai telah melebihi paras
bahaya.
"Kami
minta orang ramai agar mematuhi arahan jika diminta berpindah. Selain
itu buat persediaan awal dengan mengutamakan dokumen-dokumen penting dan
barang berharga ketika berpindah," katanya.
Sumber : BERNAMA