Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

29 Suspek Kes Curi Kenderaan Dan Pecah Rumah Diberkas

Published: 19 Jun 2014 2.46 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kota Kinabalu, 11 Mac - Polis Sabah menyelesaikan beberapa kes curi kenderaan dan pecah rumah berikutan penahanan 29 individu termasuk dua wanita dari empat kumpulan berlainan bagi tempoh dua bulan Op..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/29-suspek-kes-curi-kenderaan-dan-pecah-rumah-diberkas
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 13:25 MYT

Kota Kinabalu, 11 Mac - Polis Sabah menyelesaikan beberapa kes curi kenderaan dan pecah rumah berikutan penahanan 29 individu termasuk dua wanita dari empat kumpulan berlainan bagi tempoh dua bulan Ops Lejang dan Ops Pintu, sejak awal Januari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata suspek berusia antara 16 dan 53 tahun itu termasuk sembilan positif dadah ditahan di sekitar Kota Kinabalu dari 8 Jan hingga 3 Mac lepas.

"Bagi kes curi kenderaan yang melibatkan kumpulan Wei Chai, polis menangkap sebanyak 12 orang suspek yang berumur antara 22 hingga 53 tahun melibatkan jumlah rampasan sebanyak RM319,000," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu, Karamunsing di sini, hari ini.

Hamza berkata sembilan suspek lelaki dari kumpulan Wei Chai itu didapati positif dadah dan telah dituduh di mahkamah.

Beliau berkata 11 suspek dari Geng Kampung Sinulihan termasuk sembilan warga Indonesia dan seorang wanita berumur antara 19 tahun hingga 48 tahun ditahan atas kesalahan mencuri motosikal melibatkan rampasan kira-kira RM45,000.

Katanya, polis juga menangkap dua suspek dari Geng Ah Kit yang berumur 18 tahun termasuk seorang wanita terlibat dalam kes samun dan pecah rumah pada awal Mac lalu di sebuah apartment di sini.

Menurutnya, polis menangkap empat lelaki dari Geng Ading yang berumur antara 16 hingga 26 tahun terlibat dalam kes pecah rumah dan samun pada Februari lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sembulan Lama, di sini.

Beliau berkata rentetan itu, polis menemui sebahagian barangan yang dicuri termasuk beberapa buah kereta Perodua dan Proton serta motosikal pelbagai jenama Yamaha, Honda dan Suzuki.

Menurutnya, barangan yang dipercayai hasil curi yang dirampas itu bernilai kira-kira RM434,000.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun dan pecah rumah serta Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Sumber : BERNAMA

ArticlePublished 19 Jun 2014 2.46 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM