
Kuala Lumpur, 28 Julai 2022 – Kesemua 27 zon Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dalam 10 Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman hari ini selesai dinilai oleh tiga ahli panel dari Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perundingan Pengurusan, MAMPU, Encik Mogana Rau Muniandy bersama Encik Mohamad Fahmi Mohd Latib serta Encik Zulkifly Abdul Malek.
Penilaian EKSA yang bermula sejak Selasa lalu itu bertujuan memastikan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan dalam persekitaran kerja yang kondusif sektor awam, dapat didukung oleh PDRM selari dengan hala tujunya untuk memberi penekanan kepada perkhidmatan yang profesional, cekap, berkesan serta mesra.
Dalam penilaian tersebut, Bahagian Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman selaku urus setia jawatankuasa induk telah mengatur gerakkan kesemua fasilitator di setiap jabatan di peringkat Bukit Aman untuk memastikan setiap zon yang dinilai memenuhi kriteria yang ditetapkan bagi melayakkan PDRM dianugerahkan pensijilan EKSA bagi kali ke-2.
Sekalung ucapan syabas dan tahniah kepada semua fasilitator dan ketua zon dari 10 Jabatan yang mengambil bahagian atas usaha yang dipamerkan bagi memastikan PDRM mampu dianugerahkan pensijilan ke-2 untuk EKSA, kali ini.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.







