24 Warga Asing Ditahan
George Town, 17 Okt - Seramai 24 warga asing termasuk seorang wanita ditahan polis atas pelbagai kesalahan dalam dua serbuan di Batu Ferringhi, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata, dalam Op Ranjau yang bermula pukul 10 pagi itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan di dua lokasi dan memeriksa 74 warga asing.
"Hasil pemeriksaan itu kami mendapati 24 daripadanya yang berusia 20 hingga 50 tahun tidak mempunyai dokumen perjalanan dan tinggal lebih masa," katanya di sini hari ini.
Katanya, mereka yang ditahan itu terdiri daripada 12 warga Myanmar, Bangladesh (lima), Indonesia (empat), Vietnam (dua) dan seorang warga Pakistan.
Beliau berkata, kebanyakan warga asing yang ditahan itu bekerja di tapak pembinaan di sekitar kawasan berkenaan dan ada yang bekerja sendiri.
Mior Faridalatrash berkata, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk didokumentasi sebelum diserahkan kepada pihak imigresen bagi siasatan lanjut.
"Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1959/63 dan Seksyen 14(4) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Katanya, seramai 41 pegawai dan anggota polis, Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Jabatan Pendaftaraan Negara dan Rela terlibat dalam operasi bersepadu itu.
"Operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di daerah Timur Laut," katanya.
- BERNAMA