Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

24 Penagih Khayal Dicekup

Published: 18 Jun 2014 3.26 AM Updated: 15 Aug 2026 7.38 PM
TELUK INTAN, 8 NOV 2013 – Polis daerah ini berjaya mencekup 24 penagih dalam operasi membanteras penyalahgunaan dadah di sebuah markas di Batu 8 1/2, Jalan Hutan Melintang, di sini, kira-kira jam 9.30..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/24-penagih-khayal-dicekup
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 04:52 MYT

TELUK INTAN, 8 NOV 2013 – Polis daerah ini berjaya mencekup 24 penagih dalam operasi membanteras penyalahgunaan dadah di sebuah markas di Batu 8 1/2, Jalan Hutan Melintang, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, semua penagih berusia antara 21 hingga 49 tahun itu diberkas dalam keadaan khayal oleh sepasukan polis dari cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak.

Menurutnya, intipan dan pemantauan berterusan dilakukan sejak beberapa hari lalu setelah menerima maklumat awam berhubung aktiviti mencurigakan di sebuah ladang sawit.

"Sahih dengan maklumat itu, sepasukan polis diketuai Inspektor Teoh Teck Khoon terpaksa meredah belukar dan parit ketika melakukan serbuan.

"Kecekapan anggota terlibat berjaya memberkas semua penagih terbabit walaupun ada yang cuba meloloskan diri," katanya.

Kok Liang berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati semua individu dari kawasan Ulu Bernam, Hutan Melintang dan Teluk Intan yang ditahan positif dadah.

Menurutnya, tujuh daripada yang ditahan adalah penagih yang berada di bawah pengawasan polis.

"Sementara itu, dua penagih berusia 20 dan 30 tahun yang ditahan dalam operasi sama didapati memiliki heroin dalam poket seluar masing-masing seberat 8.82 gram dan 8.90 gram.

"Dua penagih ini akan di siasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sebanyak 20 motosikal turut dirampas dalam serbuan itu untuk siasatan sama ada motosikal curi atau sebaliknya. Semua individu ditahan direman 14 hari.

24 Penagih Khayal Dicekup

Sumber : Keratan Akhbar Sinar Harian

ArticlePublished 18 Jun 2014 3.26 AMUpdated 15 Aug 2026 7.38 PM