24 Gro Warga Asing Ditahan
George
Town, 22 Jun - Polis Pulau Pinang menahan 24 wanita warga asing yang
bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam Ops Noda bersepadu di
Nibong Tebal, Butterworth, Bayan Baru dan Jalan Patani awal hari ini.
Timbalan
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Nasir Mohd Salleh berkata
operasi enam jam berakhir pukul 3 pagi itu melibatkan 70 anggota polis
dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri.
"Mereka
yang ditahan terdiri daripada seorang warga Indonesia, sembilan
Vietnam, dua Thailand, 10 dari China dan dua warga Laos berusia dari 20
hingga 36 tahun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata tiga antara mereka yang ditahan turut terlibat dalam kegiatan pelacuran.
Nasir
berkata siasatan lanjut mendapati GRO terbabit menyalahgunakan pas
lawatan sosial dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta
Imigresen 1959/63 dan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 yang
memperuntuk hukuman
penjara tidak lebih enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.
Sumber : BERNAMA