Kota Tinggi, 21 Okt - Seramai 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan Marin Pengerang dalam satu serbuan yang dijalankan di Pantai Sungai Rengit, dekat sini, malam tadi.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata, bertindak atas maklumat, pasukannya membuat serbuan di kawasan hutan Pantai Batu Layar, Sungai Rengit, Kota Tinggi.
"Pihak kami telah menahan 23 PATI terdiri daripada 20 lelaki dewasa dan tiga perempuan dewasa," katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka adalah warganegara Indonesia dan sedang menunggu bot untuk balik ke Indonesia.
Kesemua PATI ditahan untuk tindakan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan (ATIPSOM) 2007 & Akta Imigresen 1959/63 (Pind 2002).