222 Kotak Mercun Bernilai Rm300 000 Dirampas
Tanah
Merah, 23 Jan - Polis merampas 222 kotak mercun dan bunga api bernilai
RM300,000 dalam sekatan jalan raya sempena Op Cantas Khas di Jalan
Padang Siam di sini, semalam.
Ketua
Polis Daerah Tanah Merah DSP Abdul Aziz Mahmud berkata dalam kejadian
pukul 9 malam itu, sepasukan anggota polis yang melakukan sekatan jalan
raya menahan sebuah lori kontena dan pemandunya memberi pelbagai alasan
yang meragukan apabila ditanya tentang muatan.
"Pemandu
dan kenderaan itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah
dan kita menemui 11 jenis mercun dan bunga api yang disimpan di dalam
kotak di dalam lori itu," katanya pada sidang akhbar di IPD Tanah Merah
di sini hari ini.
Siasatan
awal mendapati mercun berkenaan dibawa masuk melalui pangkalan haram di
kawasan Rantau Panjang, Pasir Mas menggunakan dua lori yang dipandu ke
Tanah Merah sebelum dimuatkan semula ke dalam lori kontena yang
digunakan suspek.
Abdul
Aziz berkata suspek yang memandu lori kontena itu dari Kuala Lumpur
untuk menghantar barangan ke Kelantan, dipercayai melakukan 'kerja
sambilan' sebagai penghantar barangan seludup dari negara jiran ke
beberapa negeri lain.
"Kesemua
mercun serta bunga api itu dipercayai untuk pasaran di Ipoh, Perak
sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada hujung bulan ini," katanya.
Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
Dalam
kes berasingan, Abdul Aziz berkata seorang penoreh getah berumur 21
tahun ditahan setelah cuba menyogok RM50 kepada anggota polis yang
menahannya selepas tidak memakai topi keledar ketika membonceng
motosikal bersama rakannya di Jalan Tasek di sini pukul 2.30 petang,
Selasa lepas.
"Kes berkenaan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kota Baharu untuk tindakan lanjut," katanya.
Sumber : BERNAMA