22 Gro Warga Asing Ditahan
IPOH 26 April 2010 - Seramai 22 pegawai perhubungan pelanggan (GRO) ditahan di tiga buah pusat hiburan dalam serbuan 'Ops Noda' di tiga daerah di Perak awal pagi semalam.
Daripada jumlah tersebut, 14 orang terdiri daripada rakyat Thailand, 4 China dan juga 4 Vietnam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, mereka ditahan kerana menyalahgunakan visa lawatan dengan melakukan aktiviti tidak bermoral di negara ini.
"Hasil pemeriksaan, mereka didapati menyalahgunakan visa lawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, serbuan pertama yang diketuai ASP Mohamad Sani bin Mat Ali di sebuah pusat karaoke di Simpang, Taiping, kelmarin, polis menahan 14 wanita warga Thailand.
"Semasa serbuan dijalankan, semua mereka yang bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) sedang leka melayan pelanggan," katanya.
Pasukan itu kemudian menahan empat lagi wanita yang berasal dari China, dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran di sebuah hotel di Jalan Yang Kalsom, dekat sini. Turut dirampas sejumlah kondom serta alat pelincir, KY Jelly.
Beliau berkata, warga negara asing tersebut dipercayai menyewa bilik di hotel berkenaan sebelum keluar mencari pelanggan dan dibawa pulang untuk melakukan aktiviti tidak bermoral.
Katanya, dalam serbuan ketiga, seramai empat GRO warga Vietnam ditahan dalam serbuan yang dilakukan di sebuah pusat hiburan di Taman Wawasan, Parit Buntar.