214 Botol Vape Berperisa Ganja Dirampas Tujuh Individu Ditahan
Kuala Lumpur, 9 Dis – Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya menahan empat lelaki dan tiga wanita warga tempatan dalam tiga serbuan berasingan sekitar Banting, Kelana Jaya dan Ampang melalui satu operasi khas STING pada 7 Disember lalu.
Tangkapan tersebut juga membawa kepada rampasan 214 botol cecair ganja sebanyak 3.2 liter, 7.1 kilogram ganja yang bernilai RM38,000 serta dua buah kenderaan milik anggota sindiket.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM, Dato’ Sri Mohd Mokhtar Mohd Shariff dalam sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Bukit Aman hari ini berkata, sindiket ini aktif menghasilkan cecair ganja untuk disalahgunakan oleh pengguna vape dan rokok elektronik.
Tambahnya lagi, sindiket ini juga didapati telah menghasilkan kek dan biskut yang mengandungi ganja.
Kesemua suspek yang berumur lingkungan 26 hingga 36 tahun itu akan direman sehingga 14 Disember 2015 untuk disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dato’ Sri Mohd Mokhtar Mohd Shariff menunjukkan antara barang yang dirampas.
Pasukan STING bersama dadah dan peralatan membuat dadah yang dirampas.
Biskut dadah.
Perisa vape yang dirampas.
Antara dadah yang dirampas.