20 Warga Jabatan Pengurusan Terima Sijil Penghargaan
Oleh : Farah Natasha Mohd Razi
Penyunting : Siti Fatimah Abd Manan
Bukit Aman, 22 April – Seramai 20 Pegawai dan anggota polis serta penjawat awam Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima sijil penghargaan atas usaha dan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dalam satu Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Pengurusan di Podium Menara 2, Bukit Aman pagi tadi. Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Pengarah Pengurusan PDRM, Dato’ Sri Zulkifli Abdullah.
Berucap dalam perhimpunan tersebut, Dato‘ Sri Zulkifli mengingatkan warga Jabatan Pengurusan supaya lebih proaktif dalam usaha untuk memperbaiki dan mengadakan pembaharuan dalam transformasi pengurusan sumber manusia serta pembangunan modal insan yang cemerlang.
“Kemantapan integriti dan urus tadbir yang cekap menjadi tulang belakang dalam Jabatan Pengurusan khususnya”, ujar beliau lagi.
Majlis ini turut dihadiri Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) DCP Dato’ Haji Mohd Fuad Abd Latiff, Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) DCP Dato’ Asri Yusoff, Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) DCP Hajjah Fatimah Abdul Hamid, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) SACP Dato’ Azisman Alias dan Ketua-Ketua Penolong Pengarah.
Pengarah Pengurusan PDRM, Dato’ Sri Zulkifli Abdullah menyampaikan sijil penghargaan