20 Gro Warga Asing Tujuh Lelaki Warga Bangladesh Ditahan Dalam Op Noda
Kuala Lumpur, 14 Nov - Seramai 20 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam, Indonesia dan Kemboja serta tujuh pekerja lelaki warga Bangladesh ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Pudu 2 di sini awal pagi ini.
Ketua Penolong Pengarah Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman SAC Khairi Ahrasa berkata mereka yang ditahan dalam operasi pada pukul 1.30 pagi itu berusia antara 18 hingga 28 tahun.
STAGG turut merampas wang tunai berjumlah RM4,275, dua buah buku catatan urus niaga dan tips GRO, tujuh keping resit urus niaga, 10 keping resit langganan GRO berserta sistem audio karaoke.
"Modus operandinya ialah menyediakan perempuan warga asing sebagai GRO dan peneman kepada pelanggan yang boleh dibawa keluar untuk mengadakan hubungan seks. Bayaran yang dikenakan antara RM130 hingga RM180 dan terbuka kepada
pengunjung tetap sahaja," katanya.
Khairi berkata premis itu menempatkan dua lokasi persembunyian GRO yang diubah suai bagi memudahkan GRO melarikan diri dengan mengubah suai almari pekerja yang ditebuk dan dilengkapi pintu untuk melarikan diri ke blok sebelah
dan tingkat atas.
Turut ditahan ialah dua pengurus lelaki dan dua wanita, kesemuanya rakyat tempatan, yang bekerja sebagai penjaga kaunter di pusat hiburan selepas premis berkenaan gagal mengemukakan lesen.
Beliau berkata kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen, Seksyen 55 Akta Imigresen, Seksyen 39B Akta Imigresen, dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen. - BERNAMA