
Artikel
19 Pegawai Dan Anggota Polis Berjaya Tamatkan Kursus Asas Utk
Kuala Lumpur, 2 Mac 2022 - Seramai 19 peserta yang terdiri daripada seorang pegawai kanan dan 18 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menamatkan Kursus...
Kuala Lumpur, 2 Mac 2022 - Seramai 19 peserta yang terdiri daripada seorang pegawai kanan dan 18 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menamatkan Kursus Asas Unit Tindakhas (UTK) yang diraikan dalam Majlis Pemakaian Beret Pelatih Kursus Asas UTK Siri 1/2021 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.
Dalam majlis tersebut, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman, CP Datuk Mastor Mohd Ariff menzahirkan ucapan setinggi tahniah dan berbangga dengan pencapaian kesemua peserta yang bersemangat waja serta cekal sepanjang kursus dilaksanakan.
Kursus yang berlangsung selama empat bulan, bermula 1 November 2021 hingga 18 Februari 2022 itu mendedahkan para peserta dengan pelbagai bentuk kemahiran termasuk menembak, perubatan tempur, kemahiran tali, “close quarter battle” (CQB) dan serbuan rumah serta bangunan bagi menguji daya tahan para peserta dari sudut fizikal dan mental.
Dalam siri kursus kali ini, sebanyak 215 penyertaan telah diterima daripada pegawai dan anggota polis dari seluruh Malaysia.
Hadir sama, Pemangku Komander UTK, ACP Tuan Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, Penolong Komander Operasi UTK, Superintendan Abd Rahim Rahman dan para pegawai kanan.
Jurugambar: Koperal Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.
