Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

19 Pati Termasuk Seorang Kanak Kanak Ditahan Di Bagan Datoh Perak

Published: 20 Oct 2015 3.59 PM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Sebanyak 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang kanak-kanak ditahan anggota polis di sekitar Bagan Datoh pada 11 Sept lepas.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/19-pati-termasuk-seorang-kanak-kanak-ditahan-di-bagan-datoh-perak
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 04:55 MYT

Teluk Intan, 20 Okt - Sebanyak 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang kanak-kanak ditahan anggota polis di sekitar Bagan Datoh pada 11 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kesemua PATI warga Indonesia itu terdiri daripada 12 lelaki dan enam wanita berumur antara 20 dan 35 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

"Kesemua PATI itu ditahan di tiga lokasi berasingan iaitu dua tempat di sekitar kebun kelapa sawit yang terletak di tepi jalan di Bagan Lipas Laut dan sekitar kawasan Kunci Air Dua di Bagan Lipas Laut. Mereka ditahan antara pukul 1 tengah hari hingga 2 petang.

"Mereka ditahan kerana didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta permit tamat tempoh. Kesemua PATI itu datang dari sekitar Perlis, Taiping, Slim River serta Lembah Klang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah
Hilir Perak di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua PATI dibawa ke Bagan Pasir oleh agen sindiket untuk ditempatkan di sebuah rumah transit sebelum dijadual pulang secara haram ke Indonesia dengan menaiki bot tekong pada kira-kira 3 pagi, 11 Sept lepas.

Mohd Shuhaily berkata bagaimanapun, sehingga 6 pagi hari berkenaan, bot yang ditunggu oleh kesemua PATI di kunci air di Bagan Lipas Laut tidak sampai seperti yang dijanjikan oleh agen berkenaan.

Beliau berkata hasil soal siasat ke atas PATI mendakwa mereka diuruskan ejen yang mengenakan bayaran antara RM600 dan RM1,000.

"Sebahagian PATI telah balik ke tempat masing-masing dan segelintir masih ada yang menunggu di kebun kelapa sawit. PATI yang ditahan ini merupakan mangsa penyeludupan migran yang dipercayai masih bergiat aktif di sekitar perairan Hutan Melintang, katanya.

PATI berkenaan ditahan di lokap Balai Polis Teluk Intan selama dua minggu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, katanya.

Beliau berkata pihaknya percaya masih ada saki baki anggota sindiket yang masih bebas dan meminta kerjasama orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian itu.

Baru-baru ini, polis Perak menahan 17 lelaki tempatan disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran dan mempunyai kaitan dengan tragedi bot karam di perairan Sabak Bernam, Selangor pada 3 Sept lepas. - BERNAMA

ArticlePublished 20 Oct 2015 3.59 PMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM