
Article
187 Pesara Bakal Pesara Pdrm Bukit Aman Dirai Oleh Pucuk Pimpinan Pdrm
Kuala Lumpur, 18 Oktober 2024 - Seramai 187 pesara dan bakal pesara Polis Diraja Malaysia disatukan untuk diraikan dalam Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesar...
Kuala Lumpur, 18 Oktober 2024 - Seramai 187 pesara dan bakal pesara Polis Diraja Malaysia disatukan untuk diraikan dalam Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Peringkat Bukit Aman Tahun 2024 yang diadakan malam tadi.
Majlis yang dihadiri oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bersama timbalannya, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berlangsung dalam suasana penuh muhibbah dan keakraban di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini.
Majlis yang diadakan saban tahun itu bukan hanya sekadar apresiasi atas segala jasa dan khidmat bakti kepada Pasukan, malah untuk mengiktiraf dedikasi serta komitmen yang telah mereka curahkan sepanjang perkhidmatan di bawah Panji-panji Sang Saka Biru.
Berucap dalam majlis tadi, Tan Sri Razarudin berharap agar semangat kepolisan dan ‘Sedia Berkhidmat’ yang sentiasa mengalir dalam diri setiap warga Pasukan akan kekal bersemarak untuk terus menabur bakti kepada masyarakat dan negara walau dalam kapasiti berbeza.
“(Majlis) ia juga merupakan peringatan kepada kita semua untuk terus memperkukuh solidariti dalam Pasukan dan mengeratkan jalinan ukhuwah melalui amalan sikap saling menghormati dan memahami.
“Semoga ikatan persahabatan ini terus menyubur disanubari kita dan berkekalan hingga ke akhir hayat”, ujar beliau.
Hadir selaku wakil para pesara yang diraikan untuk memberikan ucapan balas penghargaan kepada KPN tadi ialah bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, pesara CP Dato’ Sri Mohd Kamarudin Md Din bersama isteri, Datin Sri Jihariah Urib Mohd Ariffin.
Dalam majlis tadi juga, kesemua yang diraikan telah menerima cenderahati kenang-kenangan yang disampaikan sendiri oleh Tan Sri Razarudin dengan diapit oleh Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim.
Yang turut hadir, barisan Pengarah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, DCP Alzafny Ahmad dan Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato’ Kamaruzaman Abdullah.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.