Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

13 Remaja Ditahan Berlumba Basikal Jempol

Diterbitkan: 29 Apr 2017 2.21 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.48 AM
Johor Bahru, 29 April 2017 – Polis menahan 13 remaja berumur dalam lingkungan 11 dan 15 tahun dan menyita 15 basikal 'Jempol’ yang diubah suai selepas mereka didapati menunggang basikal secara berbahaya di Jalan Denai, Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram, dekat sini, semalam.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/13-remaja-ditahan-berlumba-basikal-jempol
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 16:41 MYT

Johor Bahru, 29 April 2017 – Polis menahan 13 remaja berumur dalam lingkungan 11 dan 15 tahun dan menyita 15 basikal  'Jempol’ yang diubah suai selepas mereka  didapati menunggang basikal secara berbahaya di Jalan Denai,  Taman Bukit Jaya,  Ulu Tiram, dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan,  Supt M. Kumar berkata kegiatan ini didapati masih lagi berlaku meskipun beberapa siri tangkapan dan rampasan terhadap remaja berbasikal itu  telah dibuat serta nasihat dan teguran telah diberikan oleh polis tentang aktiviti berbahaya ini.

"Kesemua mereka ditahan pada pukul 4.30 petang semalam oleh sepasukan polis dari Balai Polis Pelangi Indah setelah menerima maklumat orang awam,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“Masih terdapat kumpulan berbasikal "Jempol" yang degil dan menjadikan jalan raya sebagai tempat aktiviti mereka untuk berlumba dan bermain walaupun pada 18 Feb lalu telah berlaku insiden maut yang meragut lapan nyawa di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran tanah perkuburan Mahmoodiah," katanya.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan yang dibuat telah dibawa ke Balai Polis Pelangi Indah untuk siasatan lanjut.

Hasil siasatan polis juga mendapati salah seorang remaja yang ditahan didapati tidak bersekolah.

Kesemua remaja tersebut kemudiannya telah dibebaskan dan diserahkan semula kepada ibu bapa dan ahli keluarga masing-masing selepas keterangan mereka diambil.

Sehingga kini, pihak Polis Trafik Daerah Johor Bahru Selatan telah mengambil tindakan mengeluarkan 13 saman Pol 257 atas kesalahan di bawah peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalulintas 1959 (kesalahan ubah suai, tiada brek dan loceng).

Kumar berkata pihak polis telah berulang kali menasihatkan kepada masyarakat terutamanya ibu bapa agar sentiasa berwaspada dan memantau setiap pergerakan dan perbuatan anak-anak mereka.

"Saya ingin menegaskan bahawa tindakan undang-undang boleh juga diambil terhadap ibu bapa remaja tersebut di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan," katanya.

Jika sabit kesalahan. mereka boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara  maksimum dua tahun atau kedua-dua sekali.

-- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 29 Apr 2017 2.21 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.48 AM