100 Pegawai Polis Turun Padang Bersih Kubur
Walaupun sibuk dengan tugasan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah tidak lupa menjaga hubungan sesama masyarakat setempat.
Sehubungan itu kira-kira 100 pegawai dan anggota polis berganding bahu dengan penduduk Kampung Gamin Solok membersihkan kawasan ranah perkuburan Islam Kampung Gamin Solok, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, anggotanya turun padang membantu melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dalam usaha merapatkan hubungan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk.
Menurutnya, masyarakat setempat banyak membantu menyalurkan maklumat kepada polis untuk melaksanakan tugas menangani jenayah serta menjaga ketenteraman.
“Selain aktiviti gotong-royong, kami juga berkongsi maklumat membabitkan aspek keselamatan dan persekitaran dalam usaha mengurangkan jenayah kecurian dan kekerasan di kawasan ini. "Kami juga melakukan pemantauan dan rondaan di rumah penduduk yang tidak berpenghuni serta ditinggalkan”, katanya.
Sumber : Harian Metro