
Artikel
Warga Pdrm Rai Aidiladha Dengan Ibadah Korban Bersama Myfundaction
Kuala Lumpur, 12 Julai 2022 - Sebagaimana kelaziman umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha, warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak ketinggalan menyema...
Kuala Lumpur, 12 Julai 2022 - Sebagaimana kelaziman umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha, warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak ketinggalan menyemarakkan hari kebesaran tersebut dengan mengadakan ibadah korban.
Tahun ini, PDRM menerusi kerjasama sukarelawan, Yayasan Kebajikan Muslim -Myfundaction telah mengagihkan hampir 700 kilogram daging korban kepada seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah sekitar Kontinjen Kuala Lumpur dan umat Islam yang memerlukan di ibu kota.
Simbolik pengagihan daging-daging korban tadi telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Razarudin Husain dengan diiringi Pengasas dan Penasihat Utama MyFundAction, Dr. Hj. Mohd Hizul Azri Hj. Md Noor serta Ketua Penolong Pengarah (Tadbir Urus dan Kepolisan Am) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Bukit Aman merangkap Pengerusi Masjid Bukit Aman, SAC Afandi Senin.
Terdahulu di sebelah pagi, telah diadakan Forum Khas Aidiladha dengan tajuk 'Korban - Peranan Generasi Muda' bertempat di ruang solat utama Masjid Bukit Aman.
Forum khas itu disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah (Pendakwaan/Undang-Undang) D5, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, SAC Mohamad Zainal Abdullah dan Ketua Pembangunan Belia MyFundAction, Ustaz Ahmad Umair Zulkefli dengan kehadiran hampir 200 jemaah sekitar Bukit Aman dan sukarelawan MyFundAction.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil - JSJK PDRM, CP Dato’ Mohd Kamarudin Md Din, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, CP Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK PDRM), CP Dato’ Aidi Ismail, Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, CP Datuk Wira Mat Kasim Karim, Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction, Encik Muhammad Afiq Mohmad Nazari dan rakan-rakan media.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid.