Warga Amerika Latin Antara Dikenal Pasti Samun Mesin Atm
Kuala Lumpur, 10 Julai - Polis Kuala Lumpur mengenal pasti sekurang-kurangnya
tiga kumpulan termasuk yang dianggotai rakyat dari Amerika Latin
terbabit dalam kegiatan pecah dan samun mesin pengeluaran wang automatik
(ATM) di sekitar ibu negara.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata mereka dipercayai terbabit dalam sembilan kes termasuk lima yang gagal sepanjang tahun ini.
Kes
terbaharu berlaku 6 Julai lepas di Jalan Raja Laut, namun mereka gagal
memecahkan mesin ATM itu, katanya pada sidang media mingguan, di sini
hari ini.
"...kumpulan ini dipercayai menggunakan gas oxy-acetylene untuk melakukan jenayah.
"Mereka berusia lingkungan 20an dan 40an ini juga dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah," katanya.
Empat
kes pecah dan samun mesin ATM itu membabitkan wang tunai lebih RM1 juta
iaitu di Dang Wangi dengan kerugian RM300,000, Jalan Keramat
(RM400,000), Taman Shamelin (RM126,000) dan Alam Damai (RM283,000).
Lima cubaan pula membabitkan mesin ATM di Wangsa Maju, Salak Selatan, Jalan Padang Tembak, Metro Prima dan Jalan Raja Laut.
Mengulas
kes lain, Ku berkata polis berjaya memberkas tiga daripada lima suspek
yang dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian samun hotel bajet dan
kafe siber di ibu negara.
Mereka
diberkas pada pukul 8 pagi di sebuah hotel bajet di Jalan Ipoh,
kelmarin dan dipercayai sedang merancang untuk melakukan jenayah,
katanya.
"Kita
percaya ada dua lagi anggota kumpulan ini yang kesemua mereka berusia
lingkungan 33 dan 42 tahun. Daripada yang diberkas itu ada yang
mempunyai rekod jenayah, ada rekod pengakuan bahawa mereka telah
melakukan jenayah samun sebanyak enam kali di sekitar Kuala Lumpur," katanya.
Polis
turut merampas pelbagai perkakas untuk pecah rumah selain pedang,
telefon bimbit, sarung tangan, topi yang mempunyai lambang polis, pisau
rambo, pistol tiruan, walkie-talkie serta sebuah kereta jenis Proton
Wira dipercayai kereta curi.
Kes
disiasat mengikut Seksyen 395/7 Kanun Keseksaan, Akta Bahan-bahan
Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 36 Akta
Senjata Api 1960.
Sumber : BERNAMA