
Article
Waragainstdrugs Keratan Akhbar Pilihan Penganggur Ditahan Bersama Pil Kuda Rm2 57 Juta
Kota Bharu, 28 September 2023 - Seorang penganggur ditahan bersama 234,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM2.57 juta dalam sebuah kenderaan di Pasir Mas,...
Kota Bharu, 28 September 2023 - Seorang penganggur ditahan bersama 234,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM2.57 juta dalam sebuah kenderaan di Pasir Mas, dekat sini.
Ketua Polis Kelantan, CP Dato’ Muhamad Zaki Hj. Harun berkata, ketika serbuan, suspek sedang berdiri di luar kereta Proton Perdana dipercayai menunggu pelanggan.
“Pemeriksaan di bahagian bonet kereta menemui empat bungkusan berwarna putih mengandungi 234,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM2.57 juta,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Dato’ Muhamad Zaki berkata, ujian saringan yang dibuat terhadap lelaki berusia 26 tahun itu bagaimanapun negatif dadah dan suspek juga tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, pil kuda itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan pihaknya sudah mengenal pasti serta sedang mengesan pembeli dadah terbabit.
“Kita juga membuat siasatan lanjut sama ada terdapat rangkaian kumpulan lain juga terbabit dengan pengedaran dadah itu.
“Suspek direman tujuh hari bermula 24 hingga 30 September untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang sabit kesalahan boleh digantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan,” katanya.