Artikel
Update Artikel Pilihan Papagomo Didakwa Hasut Datangkan Kebencian Terhadap Agong
Kuala Lumpur, 2 Mei 2024 - Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghas...
Kuala Lumpur, 2 Mei 2024 - Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini pada pukul 12 tengah hari, 29 April lepas mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ke atas Wan Muhammad Azri dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat, Mohd Sabri Othman dan Abdul Malik Ayob manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Logen Eskander Abdullah.
Terdahulu Khairul Azreem tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, namun memohon mahkamah menetapkan jumlah yang tinggi sekiranya jaminan dibenarkan, mengambil kira faktor penerbitan hasutan yang dilakukan melibatkan Yang di-Pertuan Agong.
