
Artikel
Tugu Satria Perkasa Manifestasi Penghargaan Pdrm Terhadap Perjuangan Pga
Ipoh, 7 Ogos 2026 – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Sh...
Ipoh, 7 Ogos 2026 – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Tugu Peringatan Satria Perkasa, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), di Markas Briged Utara PGA, Ulu Kinta, di sini, hari ini.
Pembinaan Tugu Peringatan Satria Perkasa menjadi manifestasi penghargaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap sejarah, jasa bakti dan pengorbanan para perwira PGA yang telah mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara.
Lebih bermakna, Panel Perwira yang Terkorban pada tugu tersebut mengabadikan nama 68 perwira Briged Utara yang gugur ketika menjalankan tugas, bermula daripada Konfrontasi Trimus di Sarawak pada tahun 1963 hingga Operasi Taring di Kedah dan Perlis pada tahun 2020.
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail dalam sembah ucapannya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas perkenan DYMM Paduka Seri Sultan Perak menyempurnakan majlis yang diadakan.
Menurut beliau, PGA yang dahulunya dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan merupakan benteng hadapan dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. Pengorbanan para perwira Sang Saka Biru sejak era ancaman pengganas komunis, Konfrontasi hingga operasi keselamatan sempadan menjadi antara asas kepada keamanan yang dikecapi hari ini.
Justeru, nama Satria Perkasa amat bertepatan kerana mencerminkan keberanian, integriti dan keteguhan semangat warga pasukan dalam melaksanakan amanah memelihara keamanan negara.
Tambah beliau, Panel Perwira yang Terkorban bukan sekadar menjadi catatan sejarah, malah merupakan amanah kepada generasi baharu untuk terus menghargai pengorbanan para perwira serta memelihara keamanan yang telah diperjuangkan.
Reka bentuk tiga tiang pada tugu tersebut pula melambangkan motto rasmi PGA iaitu Cekal, Berani dan Setia yang menjadi pegangan warga pasukan dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan keselamatan negara.
Majlis diteruskan dengan upacara menandatangani plak perasmian oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak sebagai simbolik perasmian Tugu Peringatan Satria Perkasa, Briged Utara PGA, diikuti lawatan ke sekitar kawasan tugu serta sesi ramah mesra bersama waris perwira yang terkorban.
Terdahulu, Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj. Mohd Khalid menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq bersama DYMM Paduka Seri Sultan Perak serta tetamu kehormat.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Pemangku Timbalan KPN, CP Dato' Sri Ibrahim Darus, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato' Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri, Ketua Polis Perak, CP Dato' Mohd Alwi Zainal Abidin, Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA, PGA Bukit Aman, DCP Dato' Mohamad Suzrin Mohd Rodhi, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato' Mohamad Noor Yusof Ali, Komander Briged Utara PGA, SAC Balveer Singh Mahinder Singh, pegawai-pegawai kanan PDRM dan para pesara PDRM.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Azri Sabri dan Lans Koperal Syed Muhammad Hafiz Syed