
Artikel
Town Hall Kita Demi Negara Penduduk Batu Kurau Teruja Kunjungi Pameran Keselamatan Pdrm
Turut menarik perhatian pengunjung, pastinya pameran beberapa aset Pasukan seperti dron DJI Matrice 300 RTK, Drone Jammers Orion H, kereta perisai Commando V-1...
Taiping, 23 Julai 2022 - Cuti hujung minggu, khasnya buat penduduk di Batu Kurau, Perak hari ini dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengunjungi ruang pameran Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berlangsung dalam Program Town Hall 'Kita Demi Negara' di Dewan Astaka, di sini.
Satu panel televisyen gergasi memaparkan informasi berkaitan modus operandi penjenayah terkini dan 10 Jabatan PDRM, membolehkan penduduk mengetahui dengan lebih dekat tugas serta peranan warga Pasukan memerangi jenayah dalam negara.
Turut menarik perhatian pengunjung, pastinya pameran beberapa aset Pasukan seperti dron DJI Matrice 300 RTK, Drone Jammers Orion H, kereta perisai Commando V-150 dan Sankey AT 105 kegunaan Skuadron Perisai 1, Batalion 2, Briged Utara, Pasukan Gerakan Am serta jetski Seadoo RXT 215 model Bombardier milik Pasukan Polis Marin.
Penduduk juga dapat menyaksikan secara langsung ketangkasan operatif Unit Tindakhas menyempurnakan demonstrasi menyelamatkan orang kenamaan dan pertunjukan payung terjun oleh 69 Komando.
Terdahulu, program kemasyarakatan anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang berlangsung selama dua hari sehingga esok itu menampilkan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamzah Zainudin berdialog dengan masyarakat setempat, selain menggalakkan penyertaan orang ramai sebagai Sahabat KDN.
Beliau yang diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Razarudin Husain turut menyantuni orang ramai yang berpusu-pusu hadir memeriahkan acara sepanjang program berlangsung.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil - JSJK PDRM, CP Dato' Mohd Kamarudin Md Din, Ketua Polis Perak, CP Dato' Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, DCP Dato' Nerita Yaacob dan Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perundangan), SAC Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.
Jurugambar: Inspektor Muhamad Asiff Jamaldin, Lans Koperal Muhamad Izqhar Zainal Abidin dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.